kalam penulis

(-:السلام عليكم ورحمة الله...اهلا وسهلا:-)
..::saranghae::..

“Rawatilah Dirimu dengan Istighfar,dikala hamba itu diuji,baru dia rasa nikmatnya sujud “

14/09/2012

FUNGSI MASJID DALAM ISLAM


FUNGSI MASJID DALAM ISLAM
 
[SN314] Baru-baru ini Datuk Seri Najib Razak telah mengadakan Majlis Perhimpunan Perdana Warga Imam dan Jawatankuasa Masjid Seluruh Negara Bersama Perdana Menteri bertema ‘Masjid Diimarah, Imam Ditransformasi,’ di Serdang, Selangor yang dilaporkan dihadiri oleh 11,000 imam dan ahli jawatankuasa masjid. Dalam majlis tersebut, Najib meminta mereka tidak menggunakan masjid sebagai platform menabur fitnah dan kebencian sehingga merosakkan perpaduan ummah. Perdana Menteri Malaysia itu seterusnya berkata, kesucian masjid tidak harus dicemari pada bila-bila masa, termasuk ketika Ramadan semata-mata mahu mendapat keuntungan tertentu, mencari pengaruh atau mencetus perasaan benci. Katanya lagi, masjid bukan gelanggang mengecam, sebaliknya tempat beribadat dengan tenang dan tenteram, selain mengajak kepada kebaikan dan berdakwah secara bijaksana serta berhemah [BH 19/07/12]. 

Ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Mufti Perak, Tan Sri HarussaniZakaria menasihati umat Islam termasuk pihak kepartian agar tidak menggunakan surau dan masjid sebagai ‘gelanggang’ berpolitik sepanjang bulan Ramadan ini kerana  hukumnya haram. Katanya, sebagai umat Islam mereka perlu mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang  ditegah agama seperti mengumpat, mengeji, memfitnah sesama seagama apatah lagi bercakap tentang politik di sepanjang bulan suci dan barokah ini. Beliau juga tidak menafikan akan ada pihak-pihak yang tetap meneruskan usaha mengadakan ceramah  berbaur politik menerusi tazkirah yang dicelahkan di antara Terawih sepanjang bulan Ramadan, katanya kepada Peraknews di pejabatnya di Ipoh [www.peraknews.com 20/07/12].

Kenyataan di atas tidaklah mengejutkan sangat kerana umum sudah maklum bahawa kebanyakan masjid di Malaysia adalah dikuasai oleh kerajaan yang sekular dan sejak sekian lama unsur politik tidak dibenarkan langsung memasuki di masjid. Sebagai persiapan pilihan raya umum ke-13 nanti, Najib nampaknya sudah memberi ‘amaran’ kepada para imam dan ahli jawatankuasa masjid khususnya dan para penceramah umumnya agar tidak menggunakan masjid sebagai platform politik. Inilah adat politik sekular yang memisahkan agama dari kehidupan. Namun, apa yang menyedihkan adalah apabila wujudnya orang agama yang selalu ‘membenarkan dan mengesahkan’ lagi kata-kata pemimpin secara semberono. Seharusnya segala nas dan kesemua aspek diperhalusi terlebih dahulu sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan agar ia bertepatan dengan hukum Allah dan yang lebih penting, fatwa dikeluarkan dalam usaha mencari keredaan Allah SWT, bukannya untuk mendapatkan keredaan pemimpin (manusia). 

Hasil dari indoktrinasi sistem sekular sejak sekian lama, ramai Muslim beranggapan bahawa fungsi masjid hanyalah untuk melakukan ibadat solat sahaja dan aktiviti lain, khususnya politik, tidak dibenarkan sama sekali kerana dikatakan mencemarkan kesucian masjid sebagai tempat solat. Di banyak negara, termasuklah Malaysia, isu politik merupakan isu yang sangat sensitif untuk diperkatakan di masjid. Bukan sekadar sensitif, malah siapa sahaja berceramah yang mengandungi unsur-unsur politik di masjid adalah terdedah kepada tangkapan di bawah undang-undang dan boleh didakwa kerana menghasut, menyebarkan kebencian, memecah-belahkan masyarakat dan seumpamanya. Apatah lagi kalau ceramah tersebut menjelaskan penyelewengan, kejahatan dan betapa korupnya sistem dan pemerintah yang ada, maka tanpa ragu lagi, penceramah yang berkenaan bakal berhadapan dengan ‘masalah’ dari kerajaan. Semua orang tahu bahawa kerajaan memasang mata-mata mereka di hampir kesemua masjid bagi memastikan tidak ada penceramah yang berani bersuara tentang politik.

Kedudukan/Fungsi Masjid Dalam Islam

Di dalam Daulah Islam yang pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW, masjid merupakan pusat (ibu pejabat) pentadbiran negara di mana Rasulullah SAW mengurus urusan umat Islam dari situ. Baginda mengadakan mesyuarat, mengumpulkan orang ramai, mengadakan perjumpaan, menerima delegasi/tetamu, membuat ucapan-ucapan penting, menyelesaikan persengketaan dan banyak lagi di masjid. Begitu juga dengan para Khalifah selepas baginda di mana mereka juga melakukan hal yang sama, mengadakan pertemuan dengan rakyat, melakukan dialog, mengingatkan dan diingatkan (dimuhasabah) oleh rakyatnya di masjid. 

Diriwayatkan bahawa tatkala Rasulullah SAW tiba di Madinah semasa hijrah, baginda telah membeli sebidang tanah dan di atasnya didirikan masjid dan di sekitarnya dibangun bilik-bilik rumah baginda. Bentuk masjid yang didirikan Nabi SAW sangat sederhana, tidak memerlukan biaya dan kerja yang besar. Masjidnya berupa halaman luas yang empat sisi temboknyadibangun dari batu merah dan tanah liat. Sebahagian atapnya dari pelepah kurma dan sebahagian yang lain dibiarkan terbuka. Salah satu penjuru serambinya dikhususkan untuk tempat bermukim kaum fakir yang tidak memiliki tempat tinggal. Di waktu malam, masjidnya tidak diberi penerangan (cahaya) kecuali pada waktu solat Isyak. Penerangannya diambil dari api jerami yang dibakar di tengah-tengah masjid.

Sejarah Islam mencatat bahawa selain menjadi pusat pemerintahan dan pentadbiran, masjid juga merupakan tempat di mana para Khalifah dibaiah oleh umat Islam. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, sebahagian kaum Muslimin berkumpul di Saqifah Bani Saidah untuk mengangkat seorang Khalifah menggantikan Rasulullah sebagai Ketua Negara. Dari hasil perbincangan , maka dibaiatlah Abu Bakar sebagai Khalifah yang pertama kaum Muslimin. Kemudian pada hari kedua, kaum Muslimin diundang ke Masjid Nabawi, lalu mereka membaiat Abu Bakar di sana. Baiat yang berlaku di Saqifah adalah baiatin‘iqad (pelantikan) yang mensahkan Abu Bakar menjadi Khalifah manakala baiat di Masjid Nabawi pada hari kedua merupakan baiat taat yang wajib ke atas setiap Muslim. Di masjid inilah Abu Bakar menyampaikan ucapan politiknya yang agung yang diingati hingga kini, 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik di kalangan kalian sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kalian merupakan orang yang kuat di sisiku sehingga aku akan memberikan haknya. Manakala orang yang kuat di kalangan kalian merupakan orang lemah di sisiku sehingga aku akan mengambil haknya. Oleh itu taatilah aku selama mana aku mentaati Allah dan RasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan RasulNya maka janganlah kalian mentaatiku.”

Begitu juga setelah wafatnya Abu Bakar, kaum Muslimin datang ke masjid dan membaiat Umar Al-Khattab sebagai Khalifah yang kedua. Demikian juga dengan pelantikan Utsman sebagai Khalifah yang ketiga, turut dilakukan di masjid. Penulis kitab Al-Bidayah wa an-Nihayah (IbnKatsir) menjelaskan, 

“Orang ramai membaiat Utsman di masjid, kemudian Utsman pergi ke Dar asy-Syura (yakni rumah tempat berkumpulnya Ahlu asy-Syura), lalu kaum Muslimin selebihnya membaiatUtsman di tempat itu, seakan-akan pembaiatan itu baru sempurna setelah solat zuhur. Suhaib pada hari itu mengimami solat zuhur di Masjid Nabawi, sedangkan solat pertama kali yang dipimpin oleh Khalifah Amirul Mukminin Utsman bersama kaum Muslimin adalah solat asar…”


Baiah merupakan metod pelantikan Khalifah (Ketua Negara) bagi kaum Muslimin dan urusan pelantikan Ketua Negara ini sudah pasti termasuk dalam urusan politik. Dari peristiwa pembaiatan Khalifah ini, jelas sekali menunjukkan bahawa masjid adalah tempat di mana berlangsungnya aktiviti politik, malah aktiviti politik terpenting berlaku di sini.

Di dalam Islam, masjid juga berfungsi sebagai sebuah pusat penerangan (information centre), baik dalam perkara politik, perang, ekonomi, sosial, tsaqafah mahupun persoalan kehidupan lainnya. Berita-berita penting yang berkaitan kaum Muslimin diumumkan di masjid. Rasulullah SAW sering melakukan khutbah untuk mengumumkan sesuatu perkara di masjid dan hal ini amat masyhur sehingga tidak perlu dibahaskan lagi. Umar al-Khattab juga misalnya, ketika menghadapi suatu persoalan, beliau mengambil pendapat kaum Muslimin dalam masalah itu, baik dalam perkara yang berhubungan dengan hukum syarak, pemerintahan atau salah satu aktiviti negara. Ketika datang suatu persoalan, Umar bin al-Khattab memanggil kaum Muslimin ke masjid. Beliau memanggil baik lelaki mahupun perempuan dan mengambil pendapat mereka tanpa kecuali. Umar pernah menarik pendapatnya sendiri ketika seorang wanita membantahnya dalam masalah pembatasan kadar mahar yang ditetapkannya. Proses muhasabah dan banyak lagi perkara lainnya, semuanya berlaku di masjid yang merupakan pusat informasi bagi kaum Muslimin.

Di sepanjang sejarah kegemilangan Islam, masjid juga digunakan sebagai tempat di mana para qadhi (hakim) membicara dan memutuskan sesuatu kes. Dalam sebuah hadis dari Jabir, ia berkata, 

“Sesungguhnya seorang lelaki dari Bani Aslam datang kepada Nabi SAW sedangkan baginda berada di dalam masjid. Kemudian lelaki itu mengaku bahawa dia telah berzina. Maka baginda memalingkan darinya dan menjauhinya. Lalu lelaki itu pun bersaksi sebanyak 4 kali (bahawa ia telah berzina). Kemudian Nabi SAW memanggilnya dan bersabda, ‘apakah engkau gila/mempunyai penyakit gila? Apakah engkau seorang muhsan (telah berkahwin)?’ Dia menjawab, ‘Ya’. Lalu baginda memerintahkan agar dia dirajam…” [HR Bukhari]. 

Imam al-Mawardi menyebut di dalam al-Ahkam as-Sulthaniyah bahawa Abu Abdillahaz-Zubairi mengatakan, 

“Tidak pernah ada satu masa pun kecuali amir kami di Basrah selalu mengangkat qadhi untuk menjadi qadhi di Masjid Jami’. Mereka menyebutnya qadhi masjid. Mereka memutuskan perkara dalam masalah 200 dirham atau 20 dinar atau kurang, di samping ia juga menetapkan pelbagai keputusan. Ia tidak akan menyimpang dari kedudukannya dan dari hal-hal yang telah ditetapkan baginya.”

Masjid juga menjadi pusat aktiviti ekonomi di mana diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW kadangkala menempatkan harta (sebelum diagihkan kepada kaum Muslimin) di masjid. Imam al-Bukhari telah menuturkan riwayat dari Anas yang mengatakan, 

“Kepada Nabi SAW pernah didatangkan harta dari Bahrain, lalu baginda bersabda, ‘Hamparkan harta itu di masjid…setelah selesai melaksanakan solat, Nabi SAW datang dan duduk menghadap harta itu. Baginda tidak melihat seorang pun kecuali baginda memberikan orang itu dari harta tersebut....Tidaklah Rasulullah SAW berdiri kecuali di sana hanya tersisa satu dirham”. 

Imam asy-Syafii juga telah menuturkan riwayat di dalam al-Umm. Beliau mengatakan, 

“Bukan hanya satu orang yang berilmu saja yang telah memberitahuku, bahawa tatkala didatangkan kepada Umar bin al-Khattab ghanimah (harta rampasan perang) yang diperoleh dari Irak, maka pengurus Baitul Mal berkata, ‘Biar aku masukkan ke Baitul Mal.’ Umar berkata, ‘Jangan. Demi Allah, harta itu tidak akan ditempatkan di bawah atap sebuah rumah pun hingga aku membahaginya.’ Lalu Umar memerintahkan agar harta itu diletakkan di masjid, ditutupi dengan penutup dari kulit dan dijaga oleh beberapa orang dari kaum Muhajirin dan Ansar”.

Kawasan masjid juga pernah digunakan sebagai tempat untuk latihan jihad dan merawat para mujahidin. Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah ra yang berkata, 

“Rasulullah melihat orang-orang Habsyah sedang bermain tombak di masjid pada hari Id. ‘AisyahUmmul Mukminin juga melihat mereka dari balik tubuh Rasulullah. Rasulullah pun membentangkan sutrah agar mereka tidak melihat ‘Aisyah, sampai akhirnya ‘Aisyah jemu dan enggan melihat lagi.” Dalam riwayat lain dari Aisyah ra, ia berkata, “Saad terluka pada perang Khandaq kerana panah seorang Quraisy bernama Hibban bin ‘Ariqah…dia memanahnya tepat mengenai urat bahu Sa’ad. Kemudian Nabi SAW membuatkan khemah dekat masjid supaya mudah menjenguknya….dan tidak ada yang mencengangkan mereka ketika di masjid di dalam khemah Bani Ghifar, kecuali darah yang mengalir. Mereka berkata, ‘Wahai penghuni khemah, apakah yang datang kepada kami ini dari arah kalian?’ Ternyata luka Sa’ad menyemburkan darah lalu dia meninggal kerana lukanya itu” [HR Bukhari].

Sebagaimana telah disebutkan di awal, Rasulullah SAW telah menyediakan satu bahagian khusus di masjid untuk mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal. Mereka ini bukan dari golongan Muhajirin, juga bukan dari Ansar. Mereka adalah orang-orang Arab yang datang ke Madinah dan memeluk Islam. Rasul SAW memerhatikan nasib mereka dan menyediakan tempat khusus bagi mereka di serambi masjid. Mereka tinggal dan berlindung di situ. Kerana itu, mereka dinamakan Ahlu Suffah (penghuni serambi). Nafkah mereka diambil dari harta kaum Muslimin, baik dari orang Muhajirin ataupun Ansar yang memiliki kelebihan harta.

Selain dari fungsi-fungsi di atas, masjid juga berperanan sebagai pusat pengajian dan dakwah Islam, tempat di mana kaum Muslimin bermesyuarat dan berbincang tentang agama mereka baik tentang politik, ekonomi, pendidikan, jihad dan sebagainya. Masjid juga adalah pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan (fakir dan miskin), tempat perlindungan, tempat tidur dan istirahat para musafir dan ibnu sabil, tempat mempererat ukhwah sesama Muslim dan tempat manusia mencari pahala dan keredaan di sisi Allah SWT. Sesungguhnya banyak lagi fungsi masjid berserta dalil-dalilnya yang tidak terungkap di sini kerana keterbatasan ruang. Pendek kata, masjid bukan sekadar tempat untuk melakukan ibadat mahdhah semata-mata sebagaimana difahami oleh sebahagian Muslim, tetapi masjid juga adalah tempat melakukan ibadat ghairumahdhah dan banyak lagi aktiviti-aktiviti lain. 

Persoalannya, kenapakah boleh timbul salah faham bahawa masjid bukan tempat untuk berpolitik? Ini kerana ramai Muslim bahkan mereka yang bergelar ulama sekalipun, tidak memahami pengertian politik yang sebenar menurut Islam. Mereka memahami politik dari pengertian sekular di mana politik dan agama itu mesti dipisahkan. Mereka juga telah lama larut di dalam kehidupan sekular di mana politik yang diamalkan penuh dengan maksiat, skandal, fitnah, kekotoran, penipuan, penyelewengan dan pelbagai kejahatan lagi sehingga mereka sudah tidak nampak dan tidak tahu pengertian sebenar politik menurut Islam. 

Walhal pengertian sebenar politik (siyasah) dalam Islam adalah ri’ayahasy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyyan (pengaturan urusan ummah baik dalam mahupun luar negeri). Siyasahsyar’iyyah (politik Islam) adalah bagaimana menguruskan urusan ummah baik dari sudut sistem pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat, pendidikan dan lain-lain dengan Islam. Inilah politik Islam. Oleh sebab tidak memahami maksud politik yang sebenar, maka ramai di kalangan kaum Muslimin yang tidak membenarkan atau memandang serong akan perbincangan politik di masjid. Sesungguhnya politik (siyasah) itu adalah sebahagian dari Islam dan tidak dapat dipisahkan dari Islam sedikit pun. Justeru, sungguh aneh dan tergelincir pandangan yang menyatakan bahawa politik tidak boleh dibicarakan di masjid. Hal ini seolah-olah menyatakan “kita tidak boleh membicarakan sebahagian dari Islam di masjid”!!! 

Memang benar sekiranya masjid dijadikan tempat penyebar fitnah, kebencian dan permusuhan sesama Muslim, maka hal ini wajib dicegah. Malah segala keburukan ini tidak boleh dibenarkan di mana-mana tempat sekalipun untuk disebarkan, baik di masjid, di universiti, di Parlimen, di akhbar-akhbar dan sebagainya. Hukum memfitnah dan memecah-belahkan sesama Muslim itu haram dan berdosa, tidak kira di mana ia dilakukan. Namun malangnya, ada sesetengah masjid yang menjadi penghalang kepada seruan Islam dari berkumandang di dalamnya. Majoriti masjid kini telah didominasi oleh pihak yang berkepentingan yang menjadikan masjid sebagai corong para penguasa yang tidak Islami untuk mensosialisasikan pemikiran, polisi dan undang-undang kufur mereka. Malah ada di antara masjid yang justeru menghalang dan melarang seruan-seruan yang dianggap bersifat politik seperti seruan penegakan syariah dan Khilafah. Sebaliknya masjid-masjid berkenaan membenarkan pula penceramah tertentu yang menyokong kerajaan untuk menyebarkan fitnah kepada gerakan-gerakan Islam yang memperjuangkan tegaknya syariah dan Khilafah.

Apa yang kita saksikan sekarang ini sesungguhnya membenarkan sabda Rasulullah SAW bahawa 

“Sudah hampir tiba suatu zaman di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia roboh daripada petunjuk. Ulama yang ada adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah ini akan kembali” [HR al-Baihaqi].

05/07/2012

AIR ZAM-ZAM


Sesungguhnya air zamzam adalah sebagai nikmat yang agung. Zamzam adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Allah (SWT) yang besar kepada Baitullah dan Tanah Haram, serta termasuk di antara ayat-ayat Allah yang nyata. Air zamzam merupakan anugerah terbesar yang dapat disaksikan dengan jelas dan pasti. Air zamzam adalah "samarat" (makanan, buah-buahan & nikmat) pertama yang diberikan oleh Allah (SWT) kepada Nabi-Nya, Ibrahim (a.s) - semoga selawat dan salam sentiasa dirahmati ke atas Baginda.  Air zamzama dalah nikmat pertama yang diberikan kepada Nabi Ibrahim (a.s.) ketika Baginda berdoa:


Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di sebuah lembah yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan, berdekatan rumah Mu yang mulia. Wahai Tuhan kami (yang demikian itu), agar mereka dapat mendirikan solat, maka jadikanlah hati-hati manusia cenderung kepada mereka, berikanlah rezeki kepada mereka sebahagian daripada samarat (makanan, buah-buahan & nikmat), mudah-mudahan mereka bersyukur.
(Surah Ibrahim:37).

oleh yang demikian, air zamzam adalah minuman dan hidangan daripada A llah (SWT) kepada anakkekasih-Nya (Khalilullah, ertinya kekasih Allah, iaitu gelaran yang dikumiakan kepada Baginda Nabi Ibrahim [a.s.), iaitu Ismail - semoga selawat dan salam sentiasa dirahmati Allah (SWT) ke atas Baginda berdua. Air zamzam adalah air yang penuh keberkatan dan kemuliaan, yang wujud di tanahpaling suci dan penuh keberkatan menerusi Malaikat Jibril.

Air zamzam adalah air yang mempunyai khasiat, keistimewaan dan keutamaan yang besar, kerana ianya adalah air terbaik yang menjadi "pemimpin" segala air yang selainnya.  Air zamzam adalah air yang paling mulia, hal ini berdasarkan sabda Baginda Rasulullah (s.a.w):

Air terbaik di muka bumi adalah air zamzam

Air zamzam adalah air yang digunakan untuk membasuh hati Baginda yang paling mulia, Nabi Muhammad (s.a.w.)Hati Baginda, Nabi Allah yang paling mulia hanya dibasuh dengan air yang paling mulia pula. Allah (SWT) memberikan keistimewaan kepada air yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Baginda Rasulullah (s.a.w.) ada bersabda:

Sesungguhnyair zamzam itu penuh keberkatan, air itu mengenyangkan dan dapatmenyembuhkan penyakit.

Jika kita meminumnya dengan niat ingin menghilangkan rasa lapar, maka Allah (SWT) akan memberikan rasa kenyang kepada kita. Jika kita meminumnya dengan niat ingin sembuh daripada penyakit, maka Allah (SWT) akan memberikan penyembuhan terhadap penyakit tersebut.  Bahkan, jika kita meminum air zamzam untuk pelbagai keperluan, maka Allah (SWT) akan memperkenankan keperluan tersebut. Hal ini bersesuaian dengan apa yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah (s..a.w.) dalam salah satu hadis:

Air zamzam itu terpulang kepada niat untuk apa ia diminum

Air zamzam adalah air yang diberkati oleh Baginda Rasulullah (s.a.w.) menerusi percampuran ludahBaginda (air liur) yang suci, hinggakan keberkatannya berlipat-gandaBaginda Rasulullah (s.a.w)telah pun berwuduk dengan air zamzam. Baginda juga kerap mengambilnya sebagamiinuman. Kekerapan mengambil manfaat daripada air zamzam adalah merupakan unsur-unsur keimanan dan petanda terbebasnysaseoranng itu dari sifat-sifat munafik.  Hal ini bersesuaian dengan hadisBaginda:

Sesungguhnya yang membezakan identiti kita dengan orang-orang munafik adalah, bahawa
orang-orang munafik tidak mengambil manfaat daripada air zamzam

Memandangkan bahawa air zamzam mempunyai keistimewaan besar dan mengandungi kebaikan, maka air zamzam merupakan hidangan dan pemberian yang paling utama.  Sebab itulah, Baginda Rasulullah (s.a.w.) sentiasa memberikan air zamzam apabilBaginda ingin menjamu hidangankepada seseorang.  Baginda Rasulullah (s .a.w.) juga menjadikan air zamzasebagai bekalan ketikadalam perjalanan, membawanya ke pelbagai ceruk rantau.  Aisyah (r.a.) juga membawa air zamzamdan berkata bahawa Baginda Rasulullah (s.a.w) sentiasa membawanya.  Jumlah air zamzam yang sangat banyak itu, tidak akan habis kekeringan meskipun saban hari kerap digunakan. Ianya tidak akan habis selagi dunia ini belum berakhir.  Air zamzam merupakan salah satu daripada mata air syurga.  Itulah sebabnya ianya mempunyai kelebihan, kebaikan dan keberkatan.



25/06/2012

lirik lagu lau ka na bainana


 يا رَبِّي قَدْ غَفِلْنَا وَكُلُّناَ طَمْعٌ
فِيْ عَفْوٍ وَفِيْ كَرَمٍ وَفِيْ أَعْتَاقٍ
وَجَنَّةٍ مَعَ سَيِّدِ الْبَشَرْ
نَدْعُوْك..نَدْعُوْكَ رَبِّيْ مِنَ الْأَعْمَاقِ


 لَوْ كَانَ بَيْنَنَا الْحَبِيْب
لَدَنَا القَاصِيْ وَالْقَرِيْب
مِنْ طَيِّبَةٍ قَبْلَ الْمَغِيْب
طَالِباً قُرْبَ الحَبِيْب


 بِقُرْبِهِ النَّفْسُ تَطِيْب
وَتَدْعُوا الله فَيُجِيْب
أَنْوَارُ طَهَ لاَ تَغِيْب
بَلِّغْنَا لِقَاهُ يَا مُجِيْب


 
هُدَاكَ الْكَوْنُ الرَّحِيْب
رَحْمَةَ الهَادِيْ الْقَرِيْب
حَدِيْثُكَ النَّهْرُ الْعَذِيْب
جِوَارُكَ الْغُصْنُ الرَّطِيْب

 ب
 فَدَتْكَ رُوْحِيْ يَا حَبِيْب
محمدٌ مُكْرِمَ الْغَرِيْب
بِقُرْبِكَ الرُّوْحُ تَطِيْب
ياَ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْن

 يَا حَبِيْبِيْ ياَ مُحَمَّدْ
يَا طَبِيْبِيْ يَا مُمَجَّدْ
أَنْتَ ذُوالْفَضْلِ الْمُؤَيَّدْ
جَلَّ مَنْ صَلَّى عَلَيْك

23/06/2012

Sejarah Bermulanya Kejatuhan Khilafah Empayar Turki Uthmaniah


Kita seringkali di hidangkan dengan peristiwa Perang Dunia Pertama sebagai punca kejatuhan Empayar Kerajaan Islam Turki Othmaniah. Bagaimana pembelot yang ditawarkan habuan oleh kuasa luar sanggup menjatuhkan kerajaan sendiri, yang kemudiannya membawa runtuhnya institusi Khilafah dan Daulah Islamiah.
Namun adakah kita sedar yang kemerosotan nilai-nilai Islam dalam Pemerintahan Islam pada zaman itulah yang menyebabkan dan melemahkan Kerajaan Islam lalu dengan mudah ditumpaskan?
Dibawah ini ada sedikit ulasan bagaimana runtuhnya nilai-nilai Islam dalam pentadbiran diakhir zaman kegemilangan Empayar Islam Turki Othmaniah.
Permodenan sistem pentadbiran dan perniagaan yang antaranya pemansuhan matawang Dinar dan Dirham digantikan dengan wang kertas adalah kunci utama kepincangan kerajaan Islam pada waktu itu.
Ketamakan dan terlalu mengejar glamor ingin bersaing dengan negara kaya Eropah ketika itu sehingga cuba meniru hampir kesemua sistem eropah termasuk sistem pentadbiran, kewangan(Bank, Bond, Saham) akhirnya menjerat leher sendiri.
Ikuti kisah diari  Sultan Abdul Hamid yang menceritakan hal sebenar yang terjadi kepada kerajaan tapuk pimpinannya. Sejarah yang patut kita beritahu kepada umat Islam terutamanya generasi muda.
Peristiwa Pemecatan Khalifah Islam Terakhir Sultan Abdul Hamid
( 1876 – 1909 )
Malam itu, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya dikunjungi oleh sekumpulan manusia yang tidak akan dilupakan oleh sejarah.
Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersama beliau adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan.
“Bukankah waktu seperti ini adalah waktu khalifah menunaikan kewajipannya terhadap keluarga. Tidak bolehkah kalian berbincang dengan aku pagi esok?”, Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tergesa-gesa.
Tiada simpati di wajah mereka.“Ummah telah memecat kamu”, Esat Pasha memberitahu. Angkuh benar bunyinya.Satu persatu wajah ahli rombongan itu diperhati oleh Sultan Abdul Hamid.
“Apakah mereka ini sedar dengan apa yang mereka lakukan?”, baginda berfikir.
“Jika benar Ummah yang menurunkan aku, mengapa kamu datang dengan lelaki ini?”, Sultan Abdul Hamid menundingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.
“Apa kena mengenanya Yahudi ini dengan Ummah?”, wajah baginda kemerah-merahan menahan marah.
Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dia jugalah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika mahu mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin dengan penuh licik lebih sedekad yang lalu (1898). Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tapak penempatan Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.
Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermastautin di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat nyawanya.
“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menghantar berita penggulinganku malam itu”, Sultan Abdul Hamid meluahkan derita hatinya di dalam diari baginda.
Perancangan untuk menggulingkan baginda sudah dimulakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat kebelakangan ini, nama baginda sudah tidak disebut di dalam khutbah.
“Walaupun engkau dipecat, nyawamu berada di dalam jaminan kami”, Esat Pasha menyambung katanya.
Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puteri baginda yang seorang lagi. Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian malam itu.
“Bawa adik-adik kamu ke dalam”, Sultan Abdul Hamid mengarahkan Amir Abdul Rahim membawa adik beradiknya ke dalam bilik.
“Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma seperkara yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai bapa perlu menyekolahkan mereka”, Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Baginda sudah tahu yang tiada gunanya untuk keputusan yang dibawa oleh rombongan itu dibantah.
Itulah kerisauan terakhir baginda. Mengenangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan adalah jumlah yang besar.Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat-empat lelaki pengkhianat Ummah itu. Malam itu juga, baginda bersama ahli keluarganya hanya dibenarkan membawa sehelai dua pakaian, dan mereka diangkut di dalam gelap menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci. Khalifah terakhir umat Islam, dan ahli keluarganya dibuang negara ke Salonika, Greece.
Gerombolan tentera kedengaran melangkah penuh derap ke istana. Meriam diletupkan sebagai petanda Sultan Mehmed V Resad ditabal menjadi raja boneka. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V Resad menjadi Khalifah ke 99 umat Islam semenjak Abu Bakr al-Siddiq r.a. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tiada kuasa. Hanya boneka umpan menahan pemberontakan masyarakat terhadap pembubaran Khilafah Othmaniyyah.
“Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku terasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini menghempap dadaku, diangkat penuh kelegaan” kata Sultan Abdul Hamid di dalam diarinya.
Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis sama. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika di Greece penuh misteri.
“Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua”, kata Sultan Abdul Hamid kepada sekalian kaum kerabat baginda.
Kereta api meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Osman, berakhir malam itu. Palitan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali.
Dalam suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas kerusi kereta api sambil dipicit oleh anaknya Fatimah.
“Sabarlah anakku, Ummah tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini”, baginda mengusap wajahnya dengan linangan air mata.
Lama benar baginda dan ahli keluarganya dikurung di istana Yahudi yang buruk itu. Mereka dikurung di dalam bilik tanpa perabot. Pintu dan tingkap istana, dilarang daripada dibuka. Hari demi hari, adalah kematian sebelum mati bagi baginda sekeluarga. Akhirnya pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dibawa pulang ke Istanbul, dan anak-anaknya bercerai berai, dibuang ke Perancis sebagai pengemis dan pelarian yang merempat di jalanan.
Sultan Abdul Hamid dikurung di Istana Beylerbeyi selama 6 tahun.
“Maafkan patik, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal”, doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid berbisik ke telinga baginda.
Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asthma baginda semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa.
Renungan Sultan Abdul Hamid menghancurkan hati doktor tersebut. Bagaimana seorang khalifah umat ini harus menemui ajalnya di tangan beliau.
“Ampunkan aku ya Allah. Tiada upaya bagi hamba-Mu yang lemah ini”, seorang doktor sudah hilang upaya.
Baginda Sultan Abdul Hamid II telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam kurungan di Istana Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi oleh seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar, apakah harga kebodohan mereka membiarkan Khilafah Othmaniyyah dilumpuhkan selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid, 10 tahun yang lalu. Menangislah… tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu.
Nukilan dari muzakirat/diari Sultan Abdul Hamid
diari sultan abdul hamid
Kejatuhan Empayar Othmaniah sebenarnya bermula sejak dari pemerintahan Sultan Mahmud II (1808 -1839) lagi. Kita boleh melihat puncanya dari dua sudut :
Pertama : Pemodenan mengikut arus barat.
Kedua : Meninggalkan amalan Islam.
Ada agenda tersembunyi  yang perlu kita fahami. Sepanjang kurun ke 19 berlaku proses perindustrian dan elektonik di Eropah, ianya bukan satu proses semulajadi bahkan satu perancangan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan. Apa yang terjadi ? Kemajuan teknoloji membawa saudara kembarnya yang menjadi protokol atau prosedur bersama – samanya iaitu bon – bon, sekuriti, wang kertas dan lain – lain instrument kewangan.
Bermula dari projek pembinaan keretapi yang memerlukan modal yang besar, cara pembayaran Islam tidak boleh dipakai. Mereka menumpu di Turki sebagai pusat pemerintahan dan Mesir sebagai pusat intelektual Islam. Cara perniagaan atau muamalat islam mesti diketepikan, maknanya keputusan para Ulamak dalam hal – hal perniagaan tidak diperlukan lagi.
Selama ini umat Islam menguasai bidang perniagaan dan perdagagan sementara masyarakat Yahudi dan Kristian membayar jizyah bagi keselamatan mereka dan membenarkan mereka tidak ikut serta dalam kewajipan ketenteraan. Malangnya selepas tugasan penyusunan semula masyarakat diserahkan kepada Bankers Yahudi atas nama untuk memodenkan Khilafah Othmaniah , pekara yang sebaliknya berlaku orang Yahudi dan Kristian menjadi TUAN/Masters kaya raya sedangkan rakyat Khilafah pulak menjadi miskin.
Sultan Mahmud II membentuk tentera diraja bermodelkan tentera British. Tentera jihad diganti dengan tentera makan gaji. SIstem demokrasi diperkenalkan, jawatan wazir besar diganti dengan Perdana Menteri. Cukai dinaikkan.
Tanzimat (reformasi) diperkenalkan pada tahun 1839 oleh Sultan Abdul Mecit . Sistem kerajaan tempatan digantikan dengan model Perancis. Ini menyebabkabkan sistem perniagaan Bazaar, khidmat masyarakat melalui waqaf yang dipanggil imaret dan millet (majlis perlindungan bagi golongan minoriti ) tidak lagi berfungsi . Pendidikan dua aliran diperkenalkan , tradisional dan sekular yang bertulang belakangkan stok, bon dan lain – lain institusi kewangan moden. Ini berlaku secara tidak sedar atas nama memodenkan empayar.
Undang – undang Islam keatas status ahlu Zhimmah dihapuskan. Reformasi Tanzimat memfokuskan kepada pemusatan pentadbiran ( administrative centralization) menggantikan sistem autonomi amiriah tempatan. Tiga wazir yang menjayakan tanzimat ialah Rechid, Ali dan Fuad Pasha. Mereka bersahabat baik dengan banker Yahudi bernama Camondo. Mereka menghabiskan banyak masa mereka di Paris mempelajari teknik permodenan barat. Nasihat dari financial planner Yahudi diperlukan bagi memodenkan empayar.
Kebanyakan orang Yahudi di Istanbul tinggal di Galata. Isaac Camondo menubuhkan Bank Camondo pada tahun 1802. Saudaranya Abraham-Salomon Camondo menggantikannya pada tahun 1832. Kerana sumbangannya yang besar kepada tanzimat beliau dianugerahkan Nishan-I Iftihar dan menjadi Komander Mejidiye pada tahun 1849.
Pada tahun 1842 wang kertas KAIMA diperkenalkan menggantikan dinar dan dirham , ini membawa kepada penguasan banker YAHUDI keatas kedaulatan khilafah. Secara tidak sedar, banker  – banker ini dijemput untuk mencipta system kewangan moden dengan system riba mereka melalui bon, kredit, saham dan pengeluaran wang kertas yang dikuasai banker Yahudi. Reformasi kewangan memberi mereka peluang untuk membuka bank – bank baru.
Pada tahun 1845 Kerajaan Othmaniah bersama Mm. Alleon dan Theodore Baltazzi menubuhkan Bank of Constantinople bagi tujuan memberi pinjaman kepada kerajaan. Perang Krimea memberi peluang kepada banker Yahudi berkembang dalam empayar Othmaniah. Kerajaan memerlukan dana untuk peperangan. Bank memberi pinjaman dengan interest. Ottoman Bank ditubuhkan pada tahun 1856, ia menjadi satu langkah kepada penubuhan bank pusat dengan dana dari luar dengan jumlah 500,00 pound sterling. Transformasi modal persendirian kepada Bank Pusat akan membawa kepada system kuasa berada ditangan pemilknya banker – banker Yahudi Antarabangsa.
Keluarga Rothschilds yang terlibat dalam penubuhan Federal Reserve USA juga turut terlibat atas nama pelaburan melalui Alphonse de Rothchilds dan bapaknya James Rothschilds membuka cawangan French Rothchilds Bank di Istanbul.
Kerja – kerja untuk penubuhan bank pusat akhirnya berjaya dengan tertubuhnya La Bank Imperiale Ottomane pada tahun 1863 dengan bantuan Yahudi bernama Emil dan Isaac Pereire. Ini model yang menjadi superbank seterusnya dari Bank pusat kepada Bank Dunia dan International Monetary Fund. Bank ini menjadi bankers bank, dengan deposit dan pengumpul dan pengedaran kredit. Ia akan menentukan kadar antara Bank, memberi pinjaman, jual dan beli, membincangkan pembelian komoditi, memberi dana dan melibatkan diri dalam projek pelaburan dan mengeluarkan dan mencetak wang baru.
Bank Camondo hanyalah bank biasa, Ottoman bank ialah bank dengan dana tempatan seterusnya bank baru Imperial Ottoman bank menjadi Bank Pusat dengan dana antarabangsa. Satu system penguasaan kewangan telah diletakkan batu asasnya. Bank ini akan menyerap masuk dalam setiap aktiviti masyarakat bermula dari kedai runcit. Tidak ada aktiviti masyarakat yang dapat lepas dari Bank. Dari aktiviti jual beli, simpanan seterusnya dana kewangan dan pelaburan , semuanya melibatkan bank.
Mereka menjadi Tuan kepada dunia. Masters of the Worlds.
Pada tahun 1858 bankers Yahudi telah meletakkan syarat pinjaman dengan jaminan tranformasi sosial kepada Kerajaan Othmaniah. Ini menunjukkan sistem ekonomi hutang berkait rapat dengan kejuruteraan sosial. Pada waktu itu jizyah sudah berkubur. Bank Yahudi bertapak, sistem politik Nasrani Kristian menjadi penggerak empayar Othmaniah ! Hak menandatangani kerajaan tergadai kepada peminjam wang. Tahun itu juga , undang – undang tanah baru menafikan hak Sultan. Seterusnya tahun 1867 , orang asing dibenarkan membeli tanah.
Projek keretapi menghubungkan Istanbul ke Vienna , Austria dikatakan akan menghubungkan dunia Islam dan Eropah. Oleh kerana projek ini begitu besar, begitu jugalah peranan penipuan besar oleh bank – bank Yahud di London, Paris dan Brussel dalam membiayai projek ini dengan bon – bon kerajaan Othmaniah. Pada tahun 1873 , berlaku ‘ crash 1873 ‘ yang membawa kepada kejatuhan nilai bon – bon tersebut. Projek ini bukan sahaja pembanggunan fizikal dalam bentuk konkrit bangunan semata – mata. Bahkan suatu gerakan yang mengatasi ruang lingkup sempadan nasional dan bangsa tetapi didalangi dengan angka – angka pada dokumen kewangan yan dipanggil saham dan bon.
Pada tahun 1875 Kerajaan Othmaniah diistiharkan muflis kerana tidak mampu membayar hutang. Suruhanjaya Asing dilantik mewakil pemegang saham asing. Kerajaan terpaksa mengenakan cukai terhadap rakyat. Serbia memberotak. Bosnia diserahkan kepada Austria dibawah bendera Othmani. Jalan keretapi tidak siap tetapi separuh dari perniagaan laut telah jatuh ke tangan British.
Kesan mengurangkan perjalanan dari Vienna ke Istanbul dari seminggu ke 40 jam ialah kejatuhan Khilafah Othmaniah.
Sultan Abdul Hamid menjadi Khalifah pada tahun 1876. Beliau mahu kembali kepada pemerintahan asal Othmaniah sebelum tanzimat. Beliau menolak sistem hiraki barat dan mahukan sistem topkapi dan imaret diperintah oleh keluarga diraja Othmaniah semula. Beliau tidak percaya kepada pegawai – pegawai yang berkhidmat sebelumnya. Secara beransur – ansur beliau mengurangkan peranan mereka dalam kerajaan. Beliau berjaya mengurangkan hutang kerajaan.
Pada tahun 1896, perwakilan Zionis telah menemui beliau. Sebagai tawaran untuk mendapatkan Palestin mereka memberi tawaran untuk memperbaiki keadaan krisis kewangan yang dihadapi oleh kerajaan Othmaniah. Bagaimana seorang yang tidak mempuyai tanahairnya sendiri boleh membuat tawaran kepada pewaris salah satu empayar terbesar di dunia. Jawapannya ialah satu bentuk kuasa baru telah muncul, kuasa bank telah mengatasi kuasa kerajaan atau kuasa politik. Kuasa tidak lagi dalam bentuk ketenteraan tetapi dalam bentuk jumlah nombor wang dalam bank. Politik dijadikan alat untuk mengawal masyarakat. Kuasa politik pulak dijadikan alat bank ntuk menjalankan projeknya.
Sultan Abdul Hamid telah mengungkapkan kata-kata bersejarah yang ditujukan kepada Herzl melalui utusan yang dihantar untuk perundingan tersebut :
“Saya menganjurkan supaya dia(Hezrl) tidak meneruskan perkara ini (usaha mendapatkan tanah Palestin). Saya tidak dapat menjualkan walaupun satu kaki persegi daripada tanah ini kerana ianya bukan milik saya, tetapi milik rakyat saya. Rakyat saya telah membentuk serta mengekalkan Empayar ini dengan pengorbanan dan darah, dan kami akan mempertahankannya dengan darah kami sebelum menyerahkannya kepada sesiapapun. Biarlah yahudi-yahudi itu menyimpan sahaja wang mereka yang berbilion-bilion itu. Jika sekiranya Empayar ini berpecah, maka mereka boleh mengambil Palestin secara percuma. Tetapi mestilah dilangkah mayat kami dahulu, dan saya tidak akan membenarkan ianya berlaku atas sebab apapun..”
Sultan Abdul Hamid digulingkan pada tahun 1908. Pada tahun itu juga , pejabat pertama zionis di buka di Palestin dibawah firma Rohschilds. Maka berakhirlah empayar Othmaniah walaupun ia masih belum secara rasmi sehingga tahun 1924.
Tamat preview dari Diari Sultan Abdul Hamid.
—-
Dominasi dan Kekayaan serta pengaruh Hartawan Elit Yahudi-Eropah (ie Rothschilds) yang memegang sistem perbankan di England telah menyebabkan Negara England sendiri berada dibawah genggamannya. Mengheret Kerajaan Islam dalam kancah kehancuran. Lebih seribu tahun mereka ini bermaharajalela di Eropah sebelum berhijrah untuk mencari mangsa baru iaitu Amerika. Kini sudah lebih 100 tahun mereka disana dan rakyat Amerika sendiri sikit demi sedikit mula sedar akan  sistem yang dibawah oleh golongan Elit ini apabila bahang kesan buruknya semakin dirasai.
Amerika yang menjadi nadi ekonomi dunia kini dibelenggu hutang negara paling banyak dalam sejarah tamadun manusia. Jumlah hutang kerajaan Amerika ketika ini melebihi 14.7 Trilion Dollar bersamaan RM 42.6 Trillion Ringgit (RM 42,600,000,000,000). Rakyat Amerika kini sedar yang kerajaan mereka sudah tidak lagi mampu untuk membayar hutang-hutang tersebut.
Dengan kata lain Kerajaan Amerika sudah pun bankrupt / muflis secara tak rasmi. Pakar ekonomi meramalkan yang kerajaan akan mencetak duit lebih banyak sebagai usaha untuk mendapatkan lebih ‘income’ daripada rakyat. Namun aktiviti Mencetak duit (quantitative easing) ini hanya memburukkan lagi keadaan, perkara yang sama terjadi pada tamadun-tamadun manusia terdahulu, Empayar ROM, malah Kerajaan Islam Turkey Othmaniah juga melakukan perkara yang sama, Zimbabwe, dan terbaru yang menjadi mangsa ialah Greece. Amerika adalah negara seterusnya, jika bukan golongan Elite ini menangguhkan kejatuhan Amerika, sudah tentu 2008 yang lalu adalah tahunnya. Namun golongan Elite ini tidak membenarkan Amerika tumbang selagi misi utama mereka belum terlaksana.
——
Berbalik kepada Zaman Kerajaan Islam Turki cuma menyerap sistem pemodenan pada awal tahun 1800an, Syarikat Bank dari eropah dibenarkan beroperasi di Turki(Constantinople), Sistem kewangan Bond dan Saham semuanya dirombak untuk mengikut sistem di eropah, Duit Kertas (Kaima) turut diperkenalkan menggantikan Dinar dan Dirham.
Dari segi pentadbiran, Sistem Khilafah digantikan dengan sistem Demokrasi, Wazir besar digantikan dengan Perdana Menteri, Tentera Jihad mula diberikan sistem Tentera Bergaji dan banyak lagi.
Pertukaran dan permodenan yang dibuat oleh kerajaan Islam Turkey pada pemerintahan Sultan Mahmud II (1808 -1839) adalah titik tolaknya kejatuhan Empayar Kerajaan Islam Othmaniah pada tahun 1924.
Pemerintahan Sultan Mahmud II tidak dapat menyedari bahawa pengaruh pemodenan Eropah(Judeo-Christian Alliance) yang mengawal ekonomi Eropah sebagai Kuasa Yakjut & Makjud yang kemudiannya dikenal pasti oleh Sarjana Islam terkenal pasa masa itu iaitu Said Nursi Badiuzzaman.
Tidak kah kita terfikir akan kepincangan Sistem Demokrasi dan Kewangan yang dibawa oleh Barat ini?
Model Sistem Khilafah zaman kegemilangan Islam adalah Model Kerajaan terbaik. Jika Kerajaan Islam pada zaman itu menolak Sistem Moden Barat ini nescaya Kerajaan Islam akan terus unggul sebagai Model Kerajaan terbaik yang mempunyai nilai moral yang tinggi.